Archives

Salji

Gua hampir lupa yang saban tahun pada bulan Disember, belog ini akan bertukar menjadi begitu indah dengan kepingan salji yang memutih turun dari header browser. Walau bukan salji yang asli, tapi cukup mendamaikan mata yang melihat.

Musim sejuk dan bersalji adalah musim yang paling gua suka. Pemandangannya terlalu indah serba putih, berbeda dengan apa yang kita ada di Malaysia. Tambah pula suhu dinginnya yang nescaya gua yang sejenis hyper-hydrosis ini tidak akan terseksa dengan peluh yang mencurah-curah di bawah terik mentari.

Dulu.

Sejak 2012, musim luruh membuka mata gua. Daun-daun yang menguning dan merah menyala begitu chantek di mata. Daun-daun yang begitu kontra warnanya seolah-olah ‘bunga’ yang begitu menyerikan suasana tatkala perlahan dan gemalai ia jatuh dari dahan. Barulah gua sedar juga, alangkan kesejukan musim luruhpun sudah gua hazab berganda. Inikan pula kalau musim sejuk!

Mukadimah seperti biasa tiada kena mengena dengan isi sebenar penulisan gua untuk kali ini. Betapa tatkala umur di angka 30 ini, badan dan minda sepertinya tidak seiringan dalam menjalankan rutin harian. Minda mencongak-congak pelbagai aktiviti yang ingin dilakukan dari mula celik mata hingga pulang ke kamar peraduan. Namun badan pula menindakkan segala tindakan dan memberikan signal seawal jam 10 pagi bahawa tenaga yang ada hanya cukup untuk sampai ke jam 5.30 petang.

Sejujurnya, yang letih itu adalah minda gua. Dan terkesan hingga ke tubuh badan.

Semalam hati gua dilanda salji tebal lagi. Entah kenapa tiba-tiba melihat kembali coretan insan-insan yang gua kenal melalui alam maya, mahupun yang kenal secara tidak langsung. Cerita ini bukan cerita gua. Cerita ini adalah kisah hidup mereka yang gua tidak tahu asal dan jalan cerita yang mereka lalui. Cuma gua rangkulkan sebagai suatu ingatan.

Jodoh dan ajal maut itu ketentuan Tuhan.

Yang muda, jangan disangka hanya akan mati di usia tua.

Bila? Di mana? Kenapa? Itu rahsia Allah.

Jodoh juga begitu.

Cepat atau lambat, sudah Allah tentukan. Ada yang jodohnya sampai ajal pun belum ketemu. Ketemunya nanti di surga. Yang lewat jodohnya, usah digusarkan. Yang awal, alhamdulillah. Masing-masing ada cabaran. Jangan dikata yang bujang tiada masalahnya, seolah-olah hidup senang belaka. Umpama hanya orang berkeluargalah yang hanya tahu onak dan duri dalam menempuh hidup. Dangkal sungguh pemikiran begitu.

Hidup ini bukan sebuah kisah dongeng yang akan sentiasa berakhir dengan sebuah “happy ending”, atau “happily ever after”. Saat melihatkan teman-teman menamatkan zaman bujang seawal dalam usia lingkungan 20-an. Kini, sesudah tamat pengajian yang kini dirangka-rangka hampir 8 tahun hidup sebagai warganegara yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi. Yang hidup masing-masing paginya keluar mencari rezeki, dan malamnya berehat di rumah ataupun melayan pasangan masing-masing, anak-anak, mahupun ibu bapa.

Mungkin peruntukan masa untuk diri sendiri juga terhad dan perlu dicatu. Tidak lagi seperti bujang dahulu. Lebihnya untuk insan-insan tersayang di sekeliling. Hidup biar berjasa umpama dian yang membakar diri.

Namun ada juga perkahwinan yang panasnya tidak sampai ke petang. Perkenalan dan percintaan yang membawa ke jinjang pelamin akhirnya berakhir dengan sebuah perceraian. Siapa yang inginkan pengakhiran sebegitu?

Itulah yang mengetuk benak gua sejak akhir-akhir ini. Ya. Mungkin gua ini paranoid. Pada gua, bagaimana bisa dua insan yang dahulunya tidur sebantal bisa berpisah dan mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama? Bukankah kalian begitu sayang-menyayangi antara satu sama lain, bahkan anak-anak itu adalah manifestasi chenta kalian?

Nyata kali ini pemikiran gua pula yang dangkal. Atau naif? Kerna gua masih tidak mampu mencerna betapa hati manusia ini bisa berubah andai sudah sampai ke tahap kesabaran yang paling maksimum. Kerna pada gua, kalau bercerai itu umpamanya sudah berakhir donia. Bagaimana hendak memulakan hidup baru dengan status duda/janda? Lebih lagi kalau yang punya anak. Oh. Memikirkan sahaja sudah berat fikiran gua.

Namun benarlah, itu semua rahsia Dia. Bukan bermakna pencerai itu sudah berakhir kehidupan buat kedua-dua mereka. Kerna gua lihat, ada yang berjaya meneruskan kehidupan dengan pasangan yang baru. Bertemu jodoh sekali lagi dan membina semula mesjid yang telah runtuh.

Persoalan hati gua; bagaimana untuk bermula? Bagaimana bisa untuk merawat hati dan memberikan peluang kepada insan lain lagi? Persoalan hati yang nakal; yang bujang belum lagi, yang sudah bercerai sudahpun berkahwin dua kali.

Nilai

I had a conversation with a man a little older than me months ago. He is somewhere above 40’s. Topik yang membuatkan gua kembali menilai seorang lelaki.

Kahwin.

Berapa ramai wanita sekarang yang a little over 30’s or reaching 40’s, yang masih tidak bertemu jodoh? Ramai, bukan? Mungkin kerna wanita sekarang lebih cenderung berkerjaya, tak kurang juga yang meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi membuatkan lelaki-lelaki ‘takut’ untuk mendekati. Tak kurang juga sentimen perempuan itu sendiri yang merasakan andai punya keluarga, segalanya perlu dikorbankan dan meletakkan orang lain sebagai keutamaan berbanding diri sendiri.

Gua tidak menentang institusi perkahwinan. Fitrah setiap kehidupan di bumi ini bukankah diciptakan berpasang-pasangan?

Orang bilang, selagi kita rasakan diri sepertinya tidak bersedia untuk mendirikan rumahtangga, selagi itulah kita tidak akan berusaha ke arahnya. Benar, seringkali jua terasa diri ini masih tidak cukup baik untuk menjadi isteri, menantu, anak, ibu, ipar, dan sebagainya pada waktu yang sama. Tapi yang lebih gua takutkan lagi adalah dengan situasi yang terjadi di sekeliling hari ini. Kadar perceraian di Malaysia seumpama perceraian artis di Hollywood.

Mr.K dan gua sering berbincangkan soal begini. Bagaimana pasangan di zaman kini begitu mudah mencari jalan penyelesaian dengan mengambil jalan pintas, -cerai. Agak-agak sudah tidak sefahaman, -cerai. Yang menjadi mangsa? –Anak-anak. Malahan keluarga terdekat turut merasa tempiasnya. Pasangan moden tidak lagi seperti dahulu, yang mana orang dulu-dulu sering mengambil masa yang lebih lama sebelum bertindak untuk membawa haluan masing-masing. Sebab itu banyak kasus di mana pasangan (baik suami atau isteri) lebih rela untuk berdiam diri dan menelan segalanya demi memikirkan anak-anak dan keluarga. Umpama lilin yang membakar diri. Sedangkan generasi kini, mereka punya banyak pilihan, masyarakat juga tidak lagi skeptikal dengan pasangan yang bercerai. Tak suka, berpisah sahaja.

Gua pernah terbacakan di internet suatu petikan yang menerangkan analogi pasangan yang berkahwin dulu dan sekarang. Ambil contoh radio sebagai mewakili sebuah perkahwinan. Pastinya barangan buatan manusia itu tidak sempurna. Begitu juga perkahwinan, ada pasang-surutnya. Seandainya rosak, tidaklah dibuang terus dan dibeli baru. Radio itu dibaiki mana yang rosak, walau berulang-ulang kali. Begitu juga perkahwinan, andai ada perselisihan perlulah dibawa berbincang. Bukan terus dibuang. Generasi kini lebih cenderung untuk terus ‘beli’ yang baru kalau radio sudah rosak. Tak mahu lagi buang masa dengan ‘baiki’. Gagal dalam komunikasi antara suami-isteri.

Baik. Ini pandangan gua. Untuk wanita yang mungkin pernah mengalami, ataupun melihat sendiri bagaimana institusi perkahwinan yang berantakan makanya perkahwinan menjadi suatu kebimbangan. Benar, segalanya kita serah kepada Allah. Itu gua tahu. Tapi mari kita fokus pada psikologi untuk kali ini. Oke? Kebimbangan inilah yang menjuruskan wanita yang berkerjaya, yang sudah punya hampir segalanya (kecuali suami, anak-anak dan keluarga sendiri) untuk hidup sendiri. Enggan dibebani dengan masalah seandainya suami menduakan isteri. Paranoia.

Beda wanita dengan lelaki dalam soal ini, walau wanita punya segalanya dari segi kerjaya dan wang ringgit adalah EXPIRY DATE. Lagi lanjut usia wanita, semakin rendah ‘nilai’nya. Defisit. Lelaki, sebaliknya. Bukan sahaja dari segi wang ringgit, namun yang gua lebih tekankan di sini adalah kemampuan untuk memberikan zuriat.

Lalu di sinilah menjadi tunjang asas perbualan asas gua dengan lelaki yang dipertengahan usia 40-an tadi. Kahwin.

L (lelaki 40-an) berkata pada usianya sebegini, dalam kepalanya adalah “What’s next?”. Sedang teman-teman seusianya ramai yang ‘muda’ semula. Benarlah, life starts at 40 bagi lelaki. Beristeri dua itu menjadi benda biasa pada lelaki seusianya dengan kerjaya yang ada-ada. L berkata, yang menjadi pokok kepada perkahwinan kedua itu bukanlah kerna nafsu semata (yeah right!), namun lebih kepada perkongsian hidup.

Contoh; berkahwin dengan anak dara lanjut usia. Di sini bukanlah soal wang ringgit yang menjadi keutamaan, namun lebih kepada mengisi kekosongan. Kalau mahu dikira bab duit, isteri itu sendiri sudah punya wang sendiri, rumah sendiri. Yang tak ada cuma suami.

Heh! Kedengaran seperti mencuci kaki.

Dalam hati gua terdetik, “Nafkah zahir tetap tanggungjawab suami walaupun isteri ada duit, dol!”.

Tidak mustahillah kalau di luar sana ramai juga lelaki yang mengaku bujang. Tidak kira berapa angka usianya. Pucuk pangkal pada hati lelaki sendiri. Usah hanya menyalahkan jarak jauh yang menghalang untuk bersama keluarga (ini untuk yang LDR atau weekend husband), atau isteri terlalu sibuk dengan kerja sampai tiada masa, atau isteri tidak lagi menarik seperti dahulu, atau apa-apa lagi alasan yang merupakan alasan bacul semuanya.

Siapa yang tidak inginkan sebuah keluarga sendiri yang bahagia? Bahagia itu kita cipta dengan redha-Nya. Gua tak salahkan lelaki 100% atau menyokong kaum gua 200%. Masing-masing ada silap sendiri yang masing-masing terlalu ego untuk akui.

Fool me once, shame on you. Fool me twice, shame on me.

Prinsip gua. Kalau lelaki yang sudah berkahwin tapi mengaku bujang, yang sengaja mahu mencari liburan di luar tanpa pengetahuan isteri. Itu salah lelaki. Kalau wanita tidak tahu menahu dia menjalinkan hubungan dengan lelaki begini, yang bersalah adalah si lelaki.

AKAN TETAPI..

Jika kemudiannya si wanita dapat tahu hubungan tersebut bukan dengan lelaki yang berstatus bujang tapi suami orang, dan masih lagi wanita itu tegar untuk meneruskan perhubungan dengan alasan sayang..SHAME ON YOU, WOMAN!

Benar. Allah menghalalkan poligami. Lelaki berhak untuk berkahwin 4. Gua tidak menolak hukum Allah.

Fikirkanlah. Sebuah perhubungan yang berlandaskan penipuan, yang kemudiannya diteruskan. Pasti ada hati yang terluka. Agak-agak sampai ke mana?

The unspoken rules of the unspoken rules..

Gua tengah mandi pada ham 2:30 pagi. Memang gua suka mandi lewat tengah malam. Hari Isnin? Ahh..gua tak kerja. Coti. Padan muka kau orang yang kena kerja. Hahaha.

Lepas tu otak gua mula bekerja lebih masa. Waktu mandi adalah waktu untuk otak memikirkan segalanya. Waktu untuk pikir kata-kata balasan dan ayat power yang boleh tangkap nangis sewaktu perbahasan siang tadi, contohnya. Oh, it’s a bit too late! Dan waktu inilah jua waktu untuk memikirkan segala masalah donia, kesan rumah hijau, peperangan di negara Islam, ekonomi donia dan Malaysia, GST, where-do-i-see-myself-in-five-years, apa-nak-makan-esok-hari?

Dan juga menyenaraikan the unspoken rules of the unspoken rules..

Macham perkara/benda yang tak perlu diucapkan tapi kau tahu untuk buat secara otomatis. Macham common sense, gitu. Entah. Pada gua lah..

1. Orang tompangkan kau naik kereta dia. Kalau dia tak mintak duit minyak, pandai-pandailah bayarkan tol. Kalau dia pakai Touch ‘n Go, pandai-pandailah bayarkan makan minum dia lepas tu. Sungguhpun dia ada duit, tapi duit bukannya petik dari pokok, kan? Kalau kau tau nak jimat, orang lain pun tau nak jimat.

2. Dah masakkan, dah hidangkan, dah makan. Apakata tolong cucikan pinggan?

3. Pinjam duit kena bayar. Tak perlu tuan yang memberi pinjam kena minta berulang kali. Tak perlu jugak nak kena diingatkan berkali-kali. Malu tau nak sebut pasal duit ni?! Apatah lagi nak minta dipulangkan. Macham terbalik pula ke-malu-an (bukan bahagian sulit) itu. Orang yang memberi pinjam rasa malu tapi yang meminjam tidak pula berasa demikian?

Tiba-tiba gua rasa mengantuk.

Eh, ada nak tambah?