Apabila buku mula bertambun di sebelah bantal di katil yang sempit..

Itu menandakan bahawasanya yang gua sudah kembali membaca. Dah lama jugak gua berhenti daripada mengerjakan hobi yang satu ini. Belinya tidak pulak berhenti. Tiap-tiap bulan ada sahaja buku baru yang gua beli tatkala singgah di mana-mana toko buku. Belum lagi yang dikira dengan pembelian melalui atas talian. Sampaikan Mr.K bertanya, adakah lagi tempat untuk gua letakkan semua buku-buku itu?

Ada. Masih ada. Kalau tak adapun, akan gua usahakan sampai ada.

books-novels

Itupun sebahagian buku masih ada pada JasJamal. Perlu difikirkan bagaimana lagi untuk gua letak dan susun atur kesemuanya.

Ada orang selesa membaca e-book. Tapi sebagai seorang yang konservatif, old school, dan mempunyai tahap kerabunan yang tinggi makanya e-book sangat tidak sesuai untuk gua. Sebab itu gua lebih suka memegang dan mencium bau buku-buku itu sendiri. Dan jugak menyimpannya sebagai koleksi. Cuma kurang praktikal apabila buku-buku mula menimbun dengan ruang yang terhad.

Gua impikan untuk punya sebuah bilik yang dijadikan sebagai perpustakaan mini. Dengan sofa yang diletakkan di sebelah tingkap kaca. Memudahkan gua untuk mendapat pencahayaan yang baik dan jugak menikmati pemandangan yang mendamaikan dan indah. Sesuai dengan suasana yang gua gemar sewaktu membaca. Aman dan tenang.

Dan kalau menyusunnya jua, antara buku-buku gua dan Mr.K musti punya perbedaan yang ketara. Lalu perlu dikelaskan jenis-jenis buku yang ada. Semustinya bahan bacaan gua lebih kepada novel, kesusasteraan dan hiburan manakala raknya pula lebih kepada bahan bacaan ilmiah.

Ah..membayangkan rak-rak buku yang tinggi hingga ke siling sudah membuatkan gua begitu teruja!

Membeli itu bisa aja. Tapi membacanya? Gua perlukan masa pula untuk semua itu. Gua punya 24 jam sehari. Kau jugak punya 24 jam sehari. Tidak lebih, dan tidak kurang. Cuma cara kita menguruskan dan menggunakan masa itu yang bedanya. Macham gua, kalau tidak ke mana-mana, movies/series sudah sedia menunggu untuk ditonton. Bukan sedikit, tapi banyak! Sampaikan semua external hard disk sudah penuh. Baik yang 1 Tera, yang 500GB, yang 80GB itu juga sama. Jadi, boleh kau bayangkan berapa banyak masa yang perlu di situ?

Ahh..bercakap mengenai external hard disks yang semuanya sudah penuh..gua perlu cepat-cepat jugak habiskan menonton. Kalau tidak, musti terbengkalai kerja-kerja mendownload gua. You see, itu juga adalah salah satu hobi yang sudah menjadi suatu ketagihan.

Berbalik kepada cerita pembacaan gua yang terbengkalai sebelum ini. Kau tahu bau yang paling enak selepas bau duit dan bau bayi adalah bau buku? Ya, bau itu memang enak. Bau buku.

Masalahnya bila gua membaca buku, semua kerja tak menjadi. Baju kotor menimbun, baju yang perlu dilipat berbukit, yang perlu disimpan dalam almari menggunung. Keadaan bilik toksah cakaplah. Selagi ada laluan untuk gua jalan, itu sudah kira cukup baik. Waktu tidur juga menjadi kucar-kacir. Selagi tidak habis novel yang sedang dibaca, selagi itulah gua akan bersengkang mata. Makan minumpun tidak dihiraukan.

Tabiat yang sukar diubah. Jika tidak, masakan gua flunk kertas SPM Kimia. Semuanya gara-gara gua membaca novel sewaktu teman-teman lain sibuk mengulangkaji persamaan kimia. Flunk di sini tidaklah membawa makna gua dapat F, tapi bukanlah A yang gua dapat. Kalau sekolah gua tu, tak dapat A kiranya flunk lah. Sebab boleh kira berapa kerat sangat yang tak skor A.

Dan sekarang, di sisi bantal di atas katil kecil gua itu sudah menimbun novel-novel. Itu bermakna gua takkan menghiraukan segala macham godaan yang ada di muka bumi ini selagi gua tak habiskan pembacaan.

Cewah! Takkan menghiraukan segala macham godaan katanya! Ya, sebab itulah sekarang culas benar nak menulis. Tambahan pulak Mr.K kerap berulang-alik ke Jakarta, oleh itu banyak masa untuk diri sendiri. Itupun kalau gua tidak perlu berperang dengan kemalasan diri dan jua hobi yang satu lagi iaitu menidurkan diri.

Oh, Jakarta.

Toko-toko buku banyak sekali di sina. Andainya Mr.K bercadang untuk terus bermastautin di Jakarta, dan andainya gua mengikutnya menetap di sana, mungkin gua bisa menambahkan lagi koleksi yang ada. Tapi itulah, hujan emas di negeri orang. Hujan batu ni negeri sendiri. Lebih baik hujan batu di negeri sendiri.

Jumaat lalu gua membaca sebuah novel bertajuk The Wedding Breaker, karya Evelyn Rose. Novel tempatan dan berbahasa Malaysia cuma tajuk dan penulisnya sahaja kedengaran Inggeris. Permulaan plot ceritanya menarik. Sebuah perkahwinan yang telah dirancang oleh orang kenamaan dalam menyatukan kedua-dua belah keluarga menjadi haru-biru akibat daripada campur tangan Ariana Rose. Perkahwinan antara Tengku Adam dan Tengku Juwita tidak menjadi hanya kerna ‘drama’ sebabak dari gadis itu.

‘Drama’ yang kemudian harganya harus dibayar oleh Ariana dengan maruah dan masa depannya sendiri! Tengku Adam bukanlah calang-calang orang yang akan membiarkan hidupnya diperkotak-katikkan sesuka hati. Ariana akan diajar secukupnya!

Permulaan yang baik untuk gua yang kembali mula membaca novel-novel Melayu. Walaupun gua tak pernah baca penulisan Evelyn Rose (mungkin kerna beliau penulis baru?), tapi novel ini berjaya gua habiskan. Plot awalnya baik, namun di pertengahan cerita sedikit mendatar. Tambah pula beberapa kesalahan(?) yang dapat gua kutip di sepanjang pembacaan. Contohnya, di awal plot dikatakan Tengku Adam akan ke Jerman tapi kemudiannya destinasi yang dituju adalah Belanda. Dan kalau tidak salah di sepintas lalu, di mukasurat 606 (akan gua semak semula nantinya) nama Nabi Muhammad SAW ditulis sebagai Nabi Muhammad SWT.

Sepertinya tidak puas membaca. Kerna ada cerita yang tidak semua diceritakan. Contohnya permusuhan antara Tengku Adam dan Ramzul, dan juga apakah yang telah Liyana (adik Ramzul) dalam memainkan peranan mencetuskan permusuhan di antara kedua-dua lelaki berpengaruh itu.

Usai membaca The Wedding Breaker, gua capai Sentuhan Kasih karya Norhayati Berahim semalam. Mula membaca selewat jam 12.45 pagi. Kononnya hanya mahu membaca paling banyak 3 bab, untuk membuatkan mata mengantuk. HAROMMMMMM!! Sudahnya gua habiskan sehingga ke bab 16 dan tidur pada jam 3.30 pagi.

Begitulah kalau membaca hasil tulisan penulis yang sudah lama menapak dalam donia penulisan novel. Kisah antara Inas dan Zakry Edite. Plotnya begitu teliti, jalan penceritaanya tertib, dan mampu membuatkan pembaca tertanya-tanya dan mahu terus membaca untuk mengetahui apakah yang akan terjadi seterusnya dan menyingkap segala kebenaran.

Berlatarbelakangkan negara Norway, cukup membuatkan gua seksaited. Membacanya umpama sama gua mengetahui serba sedikit tentang negara yang merupakan paling tinggi kos hidupnya. Lalu terus gua kaitkan dengan seorang teman di bangku sekolah yang kini sudahpun menetap dan berkahwin dengan seorang penduduk tempatan di sana.

Nampaknya malam ini gua kan berjaga lagi. Makan minumpun nampaknya akan ditolak ke tepi. Ini kalau tahu dek Mr.K, mahu kena tarik telinga. Pesanannya supaya makan mengikut masa umpama mencurahkan air ke daun keladi.

Ah! Siapa yang suruh dia berpergian lagi??!!

2 thoughts on “Apabila buku mula bertambun di sebelah bantal di katil yang sempit..

  1. Izzie..tapi di Norway syok..bil air free…maternity free..jom duduk sana!
    Untung Izzie ada masa bnyk utk membaca..saya bila dah malam..niat tu memang ada..tapi letih yg amat..urus anak2 seharian..akhirnya..bacaan..ke dalam mimpi..:)
    Kimia subjek feveret!!! Sedih..tak dapat A jugak..dpt C4..sekarang ni B kot..sbb asyik tolong member masa Amali..last2 yg sendiri punya tak jadi..
    #tiba-tiba teringat H/Potter & The Half Blood Prince..masa Harry buat eksperimen..terbayang zaman2 buat dlm lab kimia dulu..selalu bila tgk part tu..mest nak ckp…”Eh..mama dulu pandai tau buat mcm Harry n Hermione ni!”

    • Norway memang best, masalahnya saya ni jenis tak tahan sejuk. kalau winter tu jawabnya tak keluar rumahlah. tapi suka salji. macham mana tu?

      masa memang banyak, tapi tak pandai nak uruskan. banyak dibazirkan dengan do nothing. absolutely nothing. sebab saya boleh duduk tanpa buat apa-apa langsung. duduk termenung pandang siling bilik sambil baring pun takde masalah. macham mana tu?

      kalaulah subjek Kimia menyeronokkan macham mana kelas Potion dalam Harry Potter (walaupun dapat Prof. Snape sebagai chegu yang mengajar), kompem saya akan dapat A1. Masalahnya, Kimia tidak seperti kelas Potion. banyak kiraan dan persamaan daripada mencampurkan segala bahan kimia yang ada dalam makmal.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s