Tok

Amaran: Cerita panjang.

Nama sebenar Tok (read: nenek) adalah Fatimah Wan Chik. Orang kampung panggil Long Timah atau cucu-cucu panggil Tok Long sebab Tok anak yang sulung. Ada 3 adik di bawahnya, tapi adik lain ayah.

Masa Tok kecil-kecil, Tok kena jaga adik-adiknya yang lain. Kena kemas rumah, kena masak, basuh baju, ke bendang. Tok tak dapat pendidikan seperti  arwah To’ki (read: atuk) Ngah Talib, Tok Ndak (read: nenek), dan To’ki Din. Tok tak pandai baca.

Zaman mudanya, Tok hidup susah. Lagi-lagi masa Zaman Jepun. Bila Tok kahwin dengan arwah To’ki, Tok ambil anak angkat 3 orang sebab dah kahwin lama tapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Ketiga-tiga anak angkat yang Tok bela tu semuanya meninggal masa kecil. Masih bayi lagi.

Kemudian, Tok dapat anak yang pertama. Anak lelaki. Tapi Allah lebih menyayangi arwah Pak Long. Allah menjemputnya pergi ketika beliau masih bayi.

Kemudian, Tok dapat anak perempuan. Mak dilahirkan pada usia Tok dalam lingkungan 40 tahun. Zaman dulu, tak dicatat dengan tepat bila dilahirkan. Jadi, umur Tok itu hanyalah anggaran bila didaftarkan untuk dapatkan IC.

Dua tahun kemudian, Mak Cu pula dilahirkan.

Bila Mak kahwin dengan Abah, Tok dapat 4 orang cucu. Tapi apabila cucu yang keempat berusia 6 bulan, suaminya dijemput Illahi kerana paru-paru berair. Air mata Tok dah kering. Dah tak mampu untuk menangis lagi.

Bila Abah berkursus di Kuala Lumpur untuk 2 tahun, kami pindah ke kampung tinggal dengan Tok dan Mak Cu. Abang, Angah, Alang dah bersekolah. Saya masih kecil. Dalam 4-5 tahun masa tu.

Tapi kami nakal. Nakal sangat.

Bila Abang dan Angah bergaduh, mulut mencarut-carut. Dengar je dek Mak, terus diambil cili padi dan dipatah dua. Ditenyeh pada mulut Abang dan Angah. Berlari terjun kolah masing-masing. Alang dan saya tak senakal Abang dan Angah. Tapi Mak tak pilih kasih. Sorang kena, semua kena. Dipatahnya cili besar, ditenyehnya ke mulut kami berdua.

Berambu-rambu air mata. Tak tahu apa salah tapi kena cili juga. Tok pujuk.

Bila Maghrib, dah siap mandi je Mak akan buat inspection. Kalau betis tu nampak berlendir macam tak bersabun, semua kena garas dengan berus besi yang kasar tu. Abang paling teruk, kena gonyoh dengan span cuci pinggan. Yang kaler hijau tu, yang keras tu. Bukan span lembut. Span hijau tu pula yang baru, tak pernah pakai. Memang menjerit-jeritlah. Sayapun kena, tapi kena dengan berus sabut sebab saya kecil lagi.

Menangis lagi sebab sakit. Tok pujuk.

Kalau kena rotan, sebat dengan hanger, piat telinga, cubit, tak payah cakaplah. Sedar-sedar, dah berbirat betis dan paha.

Kalau keluar pergi main sampai Maghrib tapi masih tak balik rumah lagi..alamatnya duduklah di luar. Mak kunci pintu. Nak curi-curi masuk ikut pintu belakang atau pintu bilik air pun tak dapat. Nak panjat tingkap pun tak boleh sebab Mak dah kunci rapat-rapat.

Trick nak masuk rumah? Pergi reban ayam, cari telur kalau-kalau ada ayam bertelur. Lepas tu, letak dalam stoking Abah. Ketuk-ketuk pintu sambil panggil Tok.

“Tok, bukalah pintu. Ni ada telur ayam ni. Nanti pecah.”

Tok pun bukakan pintu.

“Dah, pergi masuk mandi. Tok buka pintu bukan sebab telur ayam. Lain kali balik sebelum Maghrib.”

Tak lama lepas tu, moyang saya meninggal. Tok kehilangan ibunya.

Gambar diambil dari Pakcik Google

.

Pernah masa tengah goreng ikan, Tok duduk di atas kerusi (rujuk gambar). Saya hogah-hogah (read: goncang) kerusi tu, kemudian tarik kerusi tu dan dirikan di atas dua kakinya lalu menggerakkan ke atas dan ke bawah seolah-olah rocking chair. Tok diam, biarkan saja perlakuan saya. Kemudian, akal nakal datang. Mula-mula elok saya hayun ke atas dan ke bawah, tiba-tiba saya lepaskan. Lepaskan dan Tok jatuh tergolek bersama-sama kerusi tu. Ketawa pecah saya. Tok bangun, tapi Tok tak marah.

Bila saya masuk Tadika, dalam pukul 11 pagi Tok dah bersiap-siap. Tok siput (read: sanggul) rambut dia, cucuk sepit rambut ke siput rambutnya. Dia pakai selendang, kemudian berjalan ke Tadika. Nak menjemput saya. Tok memang sentiasa bersanggul. Bila nampak kelibat Tok di pintu pagar Tadika, saya melompat gembira. Tok pimpin tangan saya dan berjalan pulang. Tapi Tok singgah di kedai dulu dan belikan saya cikedis.

Bila Abah kena transfer ke Pulau Pinang, tinggal Tok dan Mak Cu je di kampung. Kami jarang dapat balik ke kampung sebab jauh. Lagipun, Abah susah nak dapat cuti. Kalau balik, masa raya je. Tu pun, 2 tahun sekali. Pernah tak dapat balik raya lebih dari 5 tahun. Selama itu juga tak berjumpa Tok.

Mak Cu cakap, habis semua album gambar yang ada disimpan dibakar oleh Tok. Gambar arwah To’ki, gambar Mak kahwin, gambar kami masa kecil. Bila ditanya kenapa bakar, dijawabnya bersepah sedangkan album tu semua disimpan di dalam almari.

Mungkin kerana hati tua dia terlalu rindukan anak dan cucu. Melihat gambar hanya menambahkan kerinduan di dada.

Tapi di almari pakaiannya, diselitkan gambar kami 4 beradik yang masih kecil di cermin pintu. Itu sahaja yang sengaja dia tinggalkan.

Bila saya di sekolah menengah, barulah Mak berani nak balik sendiri ke kampung dengan bas. Lepas bertahun-tahun tak berjumpa, Tok dah berubah. Kedut di muka Tok makin banyak. Uban di kepala makin memutih. Tok tak secergas dulu. Lututnya mula sakit-sakit.

Perut Tok dah tua-tua ni makin buncit. Tinggi perut dari dada. Kalau berdiri, belum tentu jari kaki tu dia boleh nampak. Kalau nak tengok tv sambil baring, Tok kena baring mengiring. Kalau tak, perut halang. Kitaorang bantai gelak ramai-ramai.

Tok suka benar tengok Hindustan. Suka benar dengan Shah Rukh Khan. Walau dia tua, tapi mata dia masih nampak walaupun tak pakai kaca mata. Dia boleh kenal dan ingat nama Menteri-menteri bila tengok berita.

Dan kemudian, Tok dapat cicit sulung. Apieq. Gigih dia buatkan buai. Gigih dia henjutkan buai sampai Apieq tidur. Gigih dia dukung Apieq sampai terjatuh-jatuh ke belakang sebab budak tu buas. Sejak dari tu, tiap-tiap tahun Hari Raya Aidil Fitri kami di Pekan. Di kampung. Bersama-sama Tok dan Mak Cu.

Kalau nak buat rendang ayam, habis disepat kulit ayam walaupun di bahagian kepak. Tinggal togel macam tu. Dah nampak macam daging katak pun ada.

Dan selepas 10 tahun usia Apieq, Tok bertambah tua. Usianya mungkin sudah menjangkau 90 tahun. Kawan-kawan yang seusia dengannya sudah ramai pergi menemui pencipta-Nya. To’ki Talib pun dah 3 tahun meninggal.

Badan Tok tak segemuk dulu. Perut dia pun tak sebuncit dulu. Badan Tok makin mengecut. Tapi Tok tak nyanyuk. Uzurnya taklah seuzur Tok Ndak. Cuma dia ada darah tinggi. Sakit-sakit tua yang lain tu biasalah. Tapi Tok masih comel. Mungkin kerana Tok sentiasa senyum.

Usia saya sudah 24 tahun. Sama dengan usia pemergian To’ki. Dan selama itu jugalah Tok tidak pernah berkahwin lain.

Dan tiap kali bila mahu pulang semula ke Kuala Lumpur, atau pulang semula ke Pulau Pinang..pipinya saya cium, dahinya saya kucup. Saya peluk dia ketat-ketat.

Sebab dalam hati saya selalu berkata,

“Mungkin ini kali terakhir dapat tengok Tok sebelum dia pejamkan mata.”

Dan bila saya mula mengorak langkah meninggalkan rumah, sayup-sayup saya lihat Tok masih berdiri di serambi sambil melambai-lambaikan tangannya dan melihat saya pergi.

7 thoughts on “Tok

  1. …………………………………………………………………………………………………………………………………………(T______T) sob..sob..

  2. kamo meluahkan rasa hati kamo, saya yakin semua yg baca tentu faham apa yg kamo rasa.. kamooooo >:D:D<"kamo jangan sedih yaaaa"

  3. Pingback: Tok [part 2] « i.Z.Z.i.e

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s